Tuesday, August 25, 2009

PESANAN AYAH BONDA


Inilah cerita keluarga kami ,
Teratak Anisma nama diberi,
Dianugerahkan anak ramai sekali.

Seorang Putera hensom orangnya,
Dan 6 orang Puteri cantik sekali.
Empat menantu setakat ini,
Lima orang cucu sijantung hati.

Anak-anak yang pintar seawal usia,
Menjadi kebanggaan seluruh keluarga,
Masa kecil cerdik sekali,
Bila besar bijak bistari.

Rajin belajar dan suka bertanding,
Alhamdulillah semuanya berjaya,
Menjejak kaki ke Menara Gading.

Yang sudah ada kerjaya sendiri,
Nama terkenal keseluruh negeri,
Bakal menyusul tak lama lagi,
Adik-adiknya pula mencurah bakti.

Ayah dan Ibu bangga sekali,
Kepada anak-anak pesan diberi,
Jangan sesekali sombong diri,

Tutur kata sentiasa dijaga,
Sopan santun tetap dipelihara.
Yang penting sekali,
Suruhan Tuhan tidak lupai,
Hidup bahagia sepanjang hari.








Tuesday, April 7, 2009

PENGALAMAN GURU KITA


PENGALAMAN GURU KITA

Tiap insan pasti mempunyai pengalaman tidak kira suka atau duka. Setiap yang berlalu pasti menjadi sesuatu pengalaman dan peringatan untuk meniti hari mendatang. Pengalaman yang pahit dan perit menjadi peringatan agar "Pisang tidak berbuah dua kali". Pengalaman yang manis akan menjadi ingatan sepanjang zaman.


Memang benar kata orang tua-tua "Pengalaman banyak mendewasakan dan mematangkan kita".

Daripada pengalaman jugalah manusia boleh mengenal dirinya tentang kelebihan dan kekurangan yang dimiliki. Daripada pengalaman di setesen minyak tut..tut itu dan beberapa stesen minyak yang lain yang pernah dialami termasuk peristiwa dikedai makan oleh Cik Digital Space adalah diharap Cik Myzira / Cik Permata dan kita semua menjadi lebih berhati-hati dan lebih tekad meneruskan kehidupan yang tidak pernah lurus malahan akan terus berliku.




Sudah tentu semua orang akan bertekad menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini dan seterusnya. Tetapi itu semua bukan hak kita menentukannya tanpa usaha. Sudah pasti itu urusan Yang Maha Esa.

Monday, April 6, 2009





TERKENANG AYAH DAN IBU


Aku dilahirkan dari keluarga yang susah dengan pendapatan yang sederhana. Ayahku seorang Petani manakala ibu seorang suri rumah/petani. Membesarkan kami 5 beradik dengan pendapatan hasil pertanian tanpa rasa penat dan lelah.

Tambahan pula 2 orang nenek ku (Tok Imai-nenek sebelah ibu dan Tok Aminah nenek sebelah ayah) juga tinggal bersama kami dibawah satu bumbung. Itu semua bukan satu halangan bagi mereka. Aku masih ingat kegigihan ayah dan ibu bekerja. Pada setiap hari Sabtu ayah akan ke pasar tani (dipanggil Pekan Nat) di Pokok Sena dan pada setiap Selasa pula dia akan ke Kuala Nerang untuk menjual hasil pertanian.

Ayahku menjual pucuk rebung (yang direbus) , kadangkala menjual buah petai, jering, pisang tua serta lain-lain pucuk ulam-ulaman yang diperolehi dari hutan dan dusunnya. Sehari sebelum Pekan Nat ayah dan ibu akan ke hutan untuk mencari rebung. Rebung itu dibersihkan dan dibuang miangnya serta dipotong halus sebelum diikat dengan tali rotan yang diraut halus. Malamnya rebung itu direbus hingga empuk dan lembut.

Esok pagi ayah akan membawa rebung itu didalam bakul buluh yang dialas daun pisang diatas basikal tuanya menuju ke Pekan Nat untuk dijual. Siang dan malam ayah dan ibu bekerja mencari nafkah untuk kami sekeluarga.

Ayah dan ibu mendidik kami dengan penuh kasih sayang dan diulit dengan ketegasan. Mereka tidak pernah mengeluh dan merungut. Ayah sentiasa berusaha untuk melengkapkan kami dengan keperluan hidup. Namun kegembiran kami bersama ibu tidak panjang apabila ibu pergi menyahut seruan Ilahi sewaktu aku berumur 7 tahun (ayah pula meninggal semasa umurku 36 tahun).

Hanya Tuhan saja yang tahu ketika itu betapa hancurnya hatiku ini bila ketiadaan ibu tempat bermanja seperti anak-anak lain seusiaku (rasanya belum puas aku bermanja dengannya -kerana terlalu cepat dia pergi). Tidak sempat aku nak membalas jasanya.

Namun ini tidak bermakna aku harus bersedih sepanjang masa. Aku reda dengan ketentuan Ilahi. Hidup ini mesti diteruskan, aku mesti tabah menghadapi semua ini demi masa depanku. Alhamdulillah syukur dengan berkat kesabaran dan usaha untuk menempuh hidup ini aku juga boleh dikatakan berjaya hidup senang seperti sekarang.

Walaupun tidak sehebat kawan-kawan aku yang lain. Namun sudah cukup menggembirakan hati ayah walau hanya seketika-ayah sempat melihat kejayaanku (aku bersyukur kerana sempat juga membantu serta menjaga ayah semasa dia sakit sebelum dia meninggal). Terima kasih kepada isteriku kerana bersama-sama menjaga ayahku semasa hayatnya.

Rasanya pencapaian akulah yang paling tinggi berbanding adik beradik yang lain. Kalau ayah dan ibu masih ada tentu mereka berasa gembira dengan pencapaianku.

Ayah dan Ibu........ Seribu derita telah kau tanggung Segala pahit maung telah kau telan Segala kekuatan tulang empat keratmu Telah kau banting demi membesarkan kami Pengorbanan sucimu Berapakah perlukubayar Rasanya tiada ternilai dengan kata2

Ayah dan Ibu selagi hayat dikandung badan

Anakmu ini berjanji

Akan terus mengharumkan nama mu berdua

Inshaalah keharuman namamu berdua

Akan terus diwarisi oleh cucu cicitmu kelak.....inshaalah.



Sunday, April 5, 2009

Catatan pertama- dari Puan Sri-

Salam...

Hari ini aku akan mula bercerita tentang diriku. Akan ku curahkan segala perasaanku untuk tatapan dan makluman anda supaya nanti orang tak kata aku ni seorang yang itulah, inilah mengikut pandangan mereka. Orang kata aku ni seorang yang degil, keras kepala dan apa yang aku cakap, ia adalah satu perintah. Dari raut wajahku, orang kata aku ni seorang yang sombong dan garang.

Tapi sebenarnya orang tak tahu, aku ni seorang yang baik hati, lembut hati, pemurah, penyayang dan bertanggungjawab. Aku juga seorang yang kelakar. Kalau mereka kenal aku, mereka tak kering gusi. Apa sahaja yang aku cakap, membuatkan mereka ketawa. Jauh di sudut hatiku, aku akui aku manusia istimewa yang dilahirkan dalam keluargaku. Aku tahu, sebagai manusia biasa, kadang-kala baik pada kita, tak baik pada orang lain dan begitulah sebaliknya. Tapi apa pun, aku tahu siapa aku dan aku sedar siapa aku.

Sebenarnya aku ni anak sulung dalam keluarga. Di bawah aku, ada 7 orang adik-adik. Semasa kecil, aku sentiasa akan memastikan kebajikan adik-adikku, menjaga mereka, bertanggungjawab atas keselamatan mereka. Tambahan pula masa itu, ibu aku bekerja. Mungkin sebab itulah, sifat-sifat itu terbawa-bawa hinggalah aku dewasa.

Oklah. Setakat ini sahaja pengenalan tentang diriku.
Jumpa lagi di entri yang akan datang.

Assalamualaikum...

dari Puan Sri....

Wednesday, March 18, 2009

TERATAK ANISMA - RUMAH KAMI (ISTANA KAMI)


1. Sebagai permulaan rasanya banyak yang mahu diceritakan dan dikongsi bersama anak-anak ( mungkin juga bersama cucu-cucu kami yang dah pun bersekolah - sedar tak sedar Hannah sudah Darjah 3 dan Emeliyn Darjah 1 turut membacanya ) dalam blog ini tetapi tak tahu mana satu tajuk yang patut kami mulakan.




2. Kata orang " Charity begins at home ". Jadi eloklah tajuk pertama yang akan dipaparkan disini ialah berkenaan rumah kami.

3. Rumah Banglo 2 Tingkat, di pinggir kota. Alamatnya No.3 Jalan 30B, Selayang Baru. Itulah rumah kami. Rumah tercantik dihati kami.

Singgahsana si ibu

Mahligai kepada si ayah
Istana kepada anak-anak kami
Itulah istana kami sekeluarga
Mekar setaman kasih
P/s: Tunggu entry selanjutnya yang lebih menarik mengenai Teratak Anisma....ok.

Tuesday, March 17, 2009

Welcome to my blog..


Assalamualaikum...
Selamat datang ke Teratak Anisma...
Sudi-sudilah singgah ke blog ini dan memberi serta berkongsi idea dan pengalaman anda...
Sehingga bertemu lagi di entri yang akan datang...

Wasalam...