Monday, April 6, 2009





TERKENANG AYAH DAN IBU


Aku dilahirkan dari keluarga yang susah dengan pendapatan yang sederhana. Ayahku seorang Petani manakala ibu seorang suri rumah/petani. Membesarkan kami 5 beradik dengan pendapatan hasil pertanian tanpa rasa penat dan lelah.

Tambahan pula 2 orang nenek ku (Tok Imai-nenek sebelah ibu dan Tok Aminah nenek sebelah ayah) juga tinggal bersama kami dibawah satu bumbung. Itu semua bukan satu halangan bagi mereka. Aku masih ingat kegigihan ayah dan ibu bekerja. Pada setiap hari Sabtu ayah akan ke pasar tani (dipanggil Pekan Nat) di Pokok Sena dan pada setiap Selasa pula dia akan ke Kuala Nerang untuk menjual hasil pertanian.

Ayahku menjual pucuk rebung (yang direbus) , kadangkala menjual buah petai, jering, pisang tua serta lain-lain pucuk ulam-ulaman yang diperolehi dari hutan dan dusunnya. Sehari sebelum Pekan Nat ayah dan ibu akan ke hutan untuk mencari rebung. Rebung itu dibersihkan dan dibuang miangnya serta dipotong halus sebelum diikat dengan tali rotan yang diraut halus. Malamnya rebung itu direbus hingga empuk dan lembut.

Esok pagi ayah akan membawa rebung itu didalam bakul buluh yang dialas daun pisang diatas basikal tuanya menuju ke Pekan Nat untuk dijual. Siang dan malam ayah dan ibu bekerja mencari nafkah untuk kami sekeluarga.

Ayah dan ibu mendidik kami dengan penuh kasih sayang dan diulit dengan ketegasan. Mereka tidak pernah mengeluh dan merungut. Ayah sentiasa berusaha untuk melengkapkan kami dengan keperluan hidup. Namun kegembiran kami bersama ibu tidak panjang apabila ibu pergi menyahut seruan Ilahi sewaktu aku berumur 7 tahun (ayah pula meninggal semasa umurku 36 tahun).

Hanya Tuhan saja yang tahu ketika itu betapa hancurnya hatiku ini bila ketiadaan ibu tempat bermanja seperti anak-anak lain seusiaku (rasanya belum puas aku bermanja dengannya -kerana terlalu cepat dia pergi). Tidak sempat aku nak membalas jasanya.

Namun ini tidak bermakna aku harus bersedih sepanjang masa. Aku reda dengan ketentuan Ilahi. Hidup ini mesti diteruskan, aku mesti tabah menghadapi semua ini demi masa depanku. Alhamdulillah syukur dengan berkat kesabaran dan usaha untuk menempuh hidup ini aku juga boleh dikatakan berjaya hidup senang seperti sekarang.

Walaupun tidak sehebat kawan-kawan aku yang lain. Namun sudah cukup menggembirakan hati ayah walau hanya seketika-ayah sempat melihat kejayaanku (aku bersyukur kerana sempat juga membantu serta menjaga ayah semasa dia sakit sebelum dia meninggal). Terima kasih kepada isteriku kerana bersama-sama menjaga ayahku semasa hayatnya.

Rasanya pencapaian akulah yang paling tinggi berbanding adik beradik yang lain. Kalau ayah dan ibu masih ada tentu mereka berasa gembira dengan pencapaianku.

Ayah dan Ibu........ Seribu derita telah kau tanggung Segala pahit maung telah kau telan Segala kekuatan tulang empat keratmu Telah kau banting demi membesarkan kami Pengorbanan sucimu Berapakah perlukubayar Rasanya tiada ternilai dengan kata2

Ayah dan Ibu selagi hayat dikandung badan

Anakmu ini berjanji

Akan terus mengharumkan nama mu berdua

Inshaalah keharuman namamu berdua

Akan terus diwarisi oleh cucu cicitmu kelak.....inshaalah.



3 comments:

  1. alamak sedihnya baca kisah ni... syukur kerana kami semua berkesempatan mendapat sepenuhnya kasih sayang mak abah sejak kecil hingga dewasa

    ReplyDelete
  2. Waa...aku pun sedih... Semoga Abah cepat sembuh...

    Doa Eimran selalu baca untuk wan & tok wan..
    "oh my Allah we pray to you.. along the path we leave to you..wa islamadina wa muhamadah wa rasulullah...

    ReplyDelete